PRINSIP hidup beliau agak mudah. ‘Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.’ Malah menjadi pantangnya sekiranya ada orang menggunakan alasan popular Pak Belalang: ‘Ulat dalam batu pun boleh hidup, inikan pula manusia.’
Menurut pasangan pengusaha muda, Syalily Sajad, 34, dan Azmi Taha, 34, jika berpegang kepada pepatah Pak Belalang itu, akibatnya nasib kita tidak akan ke mana-mana, sebaliknya kegagalan yang sentiasa menyapa.
Menurut mereka lagi, adalah pelik sekiranya ada suara-suara yang meluahkan kesukaran memperoleh pendapatan terutamanya di bumi Malaysia.
Negara bertuah ini diibaratkan syurga mencari kemewahan dan kesenangan, apatah lagi dengan keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi semenjak kemerdekaan negara 50 tahun lalu.
Kesempatan wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurugambar FATAH SULAIMAN dan A. RAHMAN SALLEH menjengah ke rumah dan bengkel pembuatan aksesori wanita dan rumah yang diperbuat daripada tempurung kelapa bertempat di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu membuktikan terdapat pelbagai pekerjaan yang mampu menjana pendapatan keluarga.
Pokok pangkalnya, kena ada kerajinan, kesungguhan, kreativiti, keberanian mencuba dan sedikit bakat. Ikuti sedutan temu bual bersama mereka.
MEGA: Bagaimanakah House of Coconut Shell bermula dan bagaimanakah idea menghasilkan sesuatu yang baru diperoleh?
SYALILY: Tempurung kelapa yang terbuang di pasar-pasar selalunya tidak diendahkan oleh orang ramai. Ia diumpamakan seperti bahan buangan yang diumpamakan ‘habis madu, sepah dibuang’ atau tidak ada nilai komersial.
Saya mendapat idea untuk mengkomersialkan salah satu bahan buangan yang banyak di sini iaitu tempurung kelapa kerana pernah mendapat pengalaman melihat perniagaan barang-barang kraf daripada tempurung dengan seorang kakak ipar yang pada masa itu beroperasi di Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Sungguhpun pada masa itu, saya masih bersekolah menengah tetapi dari situ menjadi titik perubahan yang mencambahkan minat dengan penghasilan kerja-kerja berseni ini.
Saya mula serius kira-kira empat tahun lalu. Kebetulan pula saya sudah mula jemu dengan rutin kerja-kerja pentadbiran yang dijawat lebih 10 tahun lamanya. Tambahan pula menyedari minat mendalam dalam kerja-kerja kraf tangan serta lukisan menyebabkan saya memberanikan diri berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian mengkomersialkan bahan asli seperti tempurung.
Saya mula mendaftar dengan Kraftangan Malaysia sebagai usahawan. Dalam masa yang sama berpeluang untuk mempromosikan produk-produk atas jenama House of Coconut Shell menerusi beberapa siri promosi anjuran pihak Kraftangan Malaysia.
Saya juga berterima kasih dengan sokongan daripada suami. Sungguhpun beliau seorang orang kurang upaya (OKU) tetapi semangat jitu dan keazaman beliau menjadi pemangkin semangat kepada saya. Terutamanya untuk berusaha menambah dan mengukuhkan pendapatan keluarga sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.
Apakah keistimewaan produk-produk dari House of Coconut Shell dan apakah cabaran dalam perniagaan ini?
SYALILY: Alhamdulillah, buat masa ini stok tempurung kelapa masih mudah diperoleh tanpa perlu mengeluarkan kos yang terlalu mahal, kecualilah jika kita menggunakan keseluruhan sebiji tempurung kelapa.
Dengan bantuan mesin-mesin pelbagai fungsi berkaitan penghasilan produk tempurung hasil bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melancarkan dan mempercepatkan pengeluaran sesuatu produk dengan nilai kualiti yang terbaik.
Antara aksesori yang dihasilkan ialah rantai, sarung kepala tali pinggang, gelang, subang, sepit rambut, cucuk sanggul, tali pinggang, anting-anting, loket rantai adalah kekuatan kami.
Di samping itu, House of Coconut Shell turut menghasilkan aksesori rumah seperti bidai daripada tempurung, aneka lampu, tabung dan beberapa lagi produk yang cuba dihasilkan.
Alhamdulillah, buat masa ini produk- produk kami mendapat permintaan, khasnya daripada pelancong luar negara kerana mereka menjadikannya sebagai cenderamata daripada Malaysia. Pelancong memang lebih sukakan kepada sesuatu yang semula jadi dan unik.
Ini tidak bermaksud, orang Malaysia tidak menyukai produk berasaskan tempurung kelapa tetapi masyarakat tempatan lebih berminat dengan manik, logam atau kristal.
Sebenarnya, cita rasa orang tempatan dengan pelancong ada sedikit perbezaan. Bagaimanapun, orang tempatan lebih tertumpu kepada aksesori rumah kalau menyentuh produk tempurung kelapa.
Sejauhmana kekuatan anda berdua dalam memenuhi tempahan yang diterima memandangkan produk-produk anda digemari pelancong asing serta ada yang dieksport ke luar negara?
SYALILY: Kami mempunyai beberapa orang pekerja yang begitu dedikasi dan berkemahiran mengendalikan mesin- mesin tertentu di bengkel.
Pada masa ini, dalam sehari kami boleh menghasilkan sehingga 20 set rantai termasuk gelang dan anting-anting. Ada ketikanya, kerja-kerja melukis di atas tempurung yang sudah siap dipotong dan dikilatkan dilakukan di rumah.
Sementara itu, suami lebih banyak menghabiskan masa di bengkel berbanding saya yang terpaksa menguruskan dua anak berusia 13 dan 10 tahun pada sebelah pagi.
Sebelum sesuatu aksesori itu dihasilkan, sabut tempurung kelapa akan dibersihkan terlebih dahulu sehingga licin. Tempurung kemudian dipotong menggunakan mesin acuan mengikut bentuk yang dikehendaki. Kemudian, tempurung akan dilicinkan menggunakan sanding machine sebelum proses melukis di atasnya dilakukan.
Seterusnya tempurung disapu laker supaya menimbulkan kilat di permukaannya. Akhirnya manik atau hiasan-hiasan lain ditambah pada aksesori tempurung mengikut kreativiti atau tempahan.
Bagaimanakah anda berusaha memastikan produk syarikat anda sentiasa di hadapan dalam pasaran?
SYALILY: Saya berterima kasih kepada JKM yang menyediakan mesin memotong tempurung, sanding machine dan mesin menebuk serta beberapa mesin lagi.
Alhamdulillah, memandangkan produk berasaskan tempurung tidak banyak di pasaran maka secara tidak langsung, persaingannya juga kurang. Namun itu tidak menandakan saya dan suami boleh menarik nafas lega atau duduk goyang kaki.
Dari semasa ke semasa, kami perlu melahirkan idea-idea yang lebih kreatif dan unik. Hakikatnya, bidang ini tidak statik kerana perubahan sentiasa boleh berlaku. Pokoknya, kena sentiasa berusaha menghasilkan kelainan dan mencari idea-idea yang dapat menarik pelanggan sama ada dalam dan luar negara.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan aksesori tempurung House of Coconut Shell yang dijual di Kraftangan Malaysia atau menghubungi saya di talian 019-249 8993 dan 012-241 3637 atau layari lama web www.house-of-coconutshell.com. Kami turut mengggunakan khidmat pos laju bagi menghantar tempahan.
Apakah perbezaan cita rasa yang ketara yang dilihat antara pelancong luar dengan orang tempatan?
SYALILY: Menerusi pemerhatian dan pengalaman dalam bidang ini, saya dapati pelancong Barat dan Jepun menyukai aksesori tempurung kelapa yang bersaiz kecil, comel, bentuk asli dan unik.
Masyarakat tempatan menggemari aksesori yang besar-besar dan ada gabungan dengan bahan-bahan lain.
Aksesori tempurung turut mendapat tempahan daripada KLIA, kedai-kedai aksesori dan orang perseorangan sekitar Kuala Lumpur. Aksesori tempurung sesuai digayakan bersama blaus untuk acara kasual, bersantai atau ke tepi pantai.
Apakah perancangan anda untuk sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 ini?
SYALILY: Sudah pastinya tahun ini menjanjikan pasaran yang lebih luas kepada kami untuk terus berkembang dan maju. Selain menggunakan promosi menerusi Kraftangan Malaysia, saya juga membuat pemasaran sendiri sama ada dengan orang perseorangan atau syarikat.
Terkini saya ada menerima permintaan bagi membekalkan bekas sabun daripada tempurung kelapa ke hotel.
Sebenarnya banyak yang perlu diusahakan tetapi kadang-kadang tidak menang tangan saya dibuatnya.